Isnin, 1 Mac 2010

Menjadi Usahawan Tani Memenuhi Tuntutan Fardhu Kifayah

Fungsi pertanian pada peringkat awalnya adalah untuk memenuhi keperluan asas manusia iaitu makanan dan minuman. Namun apabila meningkatnya tamadun manusia, maka fungsi pertanian berubah. Daripada pertanian untuk sara diri, bertukar menjadi pertanian untuk perniagaan. Apa yang nyata pertanian adalah perniagaan yang memberi peluang besar kepada umat Islam khususnya dalam pengeluaran makanan halal.
Bidang perniagaan dalam pertanian khususnya dalam pengeluaran makanan dan produk halal membuka peluang pekerjaan dan keuntungan besar kepada pelabur dan pengusaha.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu; mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jugalah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatnya dan takutilah kemurkaan-Nya ).” - (Surah al-Mulk, ayat 15)

Besarnya faedah makanan kepada manusia khususnya dalam pengeluaran makanan halal, maka Islam mengkategorikan bidang pertanian adalah fardu kifayah kerana ia bukan saja untuk kepentingan agama tetapi memberi sumbangan kepada peningkatan ekonomi negara dan kesejahteraan hidup manusia sejagat. Langkah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menganjurkan Pameran Pertanian dan Agro Pelancongan (Maha) adalah selari tuntutan fardu kifayah. Malaysia sebuah negara bertuah kerana mempunyai tanah pertanian subur dan sumber alam yang kaya untuk membekalkan makanan kepada penduduknya. Sumber itu bukan saja mencukupi untuk rakyat negara ini tetapi di eksport ke luar negara.

Menurut Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan, menjelang 2010, Malaysia dijangka mengeksport hasil pertanian bernilai RM72 bilion setahun. Berdasarkan aktiviti pertanian adalah fardu kifayah, maka sikap membazir atau membiarkan tanah tanpa diusahakan dalam keadaan kegawatan ekonomi perlu diubah. Sesungguhnya perbuatan sedemikian dimurkai Allah kerana seolah-olah tidak mensyukuri nikmat diberikan. Nabi SAW menekankan dalam sabdanya mengenai perlunya tanah pertanian dibangunkan untuk menghasilkan bahan makanan dan tidak mengizinkan sama sekali tanah dibiarkan dan dibazirkan begitu saja.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mempunyai tanah hendaklah dia mengerjakannya dengan bertani atau (jika dia tidak berupaya melakukannya) hendaklah menyerahkannya kepada saudaranya supaya diusahakan dan janganlah dia menyewakannya (sekalipun) hanya sepertiga, seperempat dan makanan asasi.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis itu, jelas bahawa manusia bertanggungjawab untuk memakmurkan bumi ini sebagai tanda kesyukuran dengan memanfaatkan hasil ciptaan Allah untuk kebajikan manusia. Justeru, umat Islam diseru supaya memperhebatkan bidang pertanian dengan cara menjadikannya sebagai sumber perniagaan kerana nyata memberi keuntungan, manfaat kepada manusia sejagat dan memperluaskan pengeluaran makanan halal dunia.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan makanlah dari rezeki yang diberikan Allah kepadamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya saja kamu beriman.” (Surah Al-Maidah, ayat 88)

Sumber - Laman khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan